
KUALA LUMPUR: Peranan Malaysia selaku Pengerusi Asean 2025, disifatkan oleh Kesatuan Eropah (EU) sebagai luar biasa dan mengagumkan.
EU juga berharap untuk mengukuhkan kerjasama dengan rantau itu melalui peningkatan nilai hak asasi manusia dalam perjanjian ekonomi dan perdagangan masa hadapan.
Wakil Khas EU bagi Hak Asasi Manusia, Kajsa Ollongren berkata EU melihat Malaysia sebagai rakan penting di rantau ini, terutama dalam memajukan dialog dasar mengenai hak asasi manusia di samping kerjasama yang lebih luas dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
“Malaysia telah melakukan tugas yang luar biasa sebagai Pengerusi Asean. Bagi Kesatuan Eropah, Malaysia adalah rakan yang sangat relevan bukan sahaja dalam perdagangan dan pelaburan asing, tetapi juga secara khusus dalam agenda berkaitan hak asasi manusia dan ekonomi,” katanya.
Ollongren berkata Malaysia sebagai Pengerusi Asean tahun ini telah memainkan peranan penting dalam menyokong dialog antara agensi hak asasi manusia serantau dan antarabangsa bagi menamatkan penindasan dan kekejaman terhadap orang awam di Myanmar.