
KUALA LUMPUR: Prasarana Sdn Bhd (Prasarana), Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) adalah antara syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) yang mengalami kerugian, berdasarkan maklumat daripada laporan kewangan beraudit 2023.
Kementerian Kewangan menjelaskan, kebanyakan syarikat itu yang melaksanakan projek infrastruktur awam, terutama pengangkutan rel dan infrastruktur jambatan, mengalami kerugian bagi menyokong penyediaan perkhidmatan untuk keselesaan rakyat dengan kadar tambang yang murah dan berpatutan.
Kementerian itu berkata, MKD sebagai pemegang saham majoriti syarikat sentiasa berusaha meningkatkan kawalan bagi memantau prestasi syarikat dari segi kewangan dan tadbir urus supaya operasi syarikat MKD selaras dengan objektif penubuhan dan mandat yang ditetapkan.
“Antara langkah yang diambil untuk meningkatkan pemantauan terhadap syarikat MKD adalah melalui pembentangan pelan perniagaan tahunan syarikat, penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) syarikat dan laporan pencapaian KPI setiap suku tahun, Pelaporan Penyata Kewangan Beraudit Tahunan dan Pelaporan Pengurusan Kewangan Suku Tahun.
“Selain itu, MKD juga mengambil inisiatif dengan mengadakan Mesyuarat Corporate Improvement Programme (CIP) bagi syarikat MKD yang tidak mencapai sasaran KPI sekurang-kurangnya 80 peratus pada tahun semasa, yang mana Mesyuarat CIP bertujuan mengenal pasti masalah yang dihadapi syarikat dan membincangkan penambahbaikan struktur syarikat.
“Syarikat MKD yang gagal mencapai sasaran KPI juga diminta mengemukakan penjelasan lanjut dan pelan tindakan yang akan dilaksanakan syarikat bagi memperbaiki prestasi serta kedudukan kewangan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Kementerian menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai senarai 20 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mencatatkan kerugian tertinggi dan langkah serta tindakan undang-undang yang diambil kerajaan untuk menangani kerugian itu.