
KUALA LUMPUR: Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, menerusi satu perbualan telefon semalam, memaklumkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim perkembangan terkini mengenai Pelan Damai Gaza.
Perdana Menteri berkata El-Sisi juga menyatakan harapan agar kunjungan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 membawa hasil yang positif, memandangkan peranannya amat penting dalam menjamin keamanan berkekalan di Gaza.
Menurtnya, El-Sisi memaklumkan bahawa tumpuan kini diberikan kepada usaha mengenal pasti serta membawa keluar mayat tebusan rakyat Israel dari Gaza agar rejim Zionis tidak mempunyai sebarang alasan untuk melengah atau menggagalkan proses damai yang sedang diusahakan.
“Beliau turut memaklumkan mengenai pelaksanaan fasa kedua pelan tersebut, iaitu pembinaan semula Gaza, keperluan melindungi Tebing Barat, serta pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF).
“Dalam kesempatan itu, El-Sisi turut menyampaikan jemputan kepada saya untuk menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza yang akan berlangsung di Mesir, sebagai sebahagian daripada usaha bersama memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap pemulihan Gaza,” katanya.
Anwar berkata, mereka sependapat mengenai keperluan untuk terus mempertahankan keamanan, memperkukuh agenda kemanusiaan, dan menyelaras pelaksanaan misi bantuan bagi rakyat Palestin yang masih berdepan penderitaan berpanjangan.
Fasa pertama pelan damai Gaza yang diusulkan oleh Amerika Syarikat telah dipersetujui oleh kumpulan Hamas dan rejim Israel. Pelan 20 perkara itu, yang diumumkan pada 29 September lalu itu merangkumi pembebasan tawanan Israel di Gaza, gencatan senjata dan pelucutan senjata Hamas.