Eksport Koko RM9.69 Bilion 6 Bulan Pertama

Foto Berita Harian

TELUK INTAN: Eksport koko negara merekodkan nilai RM9.69 bilion sepanjang enam bulan pertama tahun ini, dipacu permintaan tinggi dari luar negara serta harga pasaran yang memberangsangkan, kata Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr Ramle Kasin.

Beliau berkata antara pengimport utama ialah Amerika Syarikat, Singapura, Jepun dan Indonesia. Berdasarkan trend semasa, eksport koko dijangka mencecah RM15 bilion menjelang akhir tahun ini.

“Setakat ini hampir 100 peserta dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Semenanjung terbabit dalam penanaman koko. Penyertaan mereka konsisten dan sesuai dengan budaya serta cara hidup, sekali gus menjadi penyumbang kepada pengeluaran koko negara. LKM turut menyediakan bantuan seperti baja, racun perosak serta kursus penanaman koko,” katanya selepas merasmikan penutupan Program Kursus Pelatih Super Koko Siri Ketiga Wilayah Semenanjung.

Ramle turut memaklumkan purata harga biji koko kering meningkat 141 peratus kepada RM24,274 satu tan metrik tahun lalu berbanding RM10,073 pada tahun sebelumnya.

“Permintaan terhadap koko berkualiti tinggi semakin meningkat di pasaran antarabangsa. Ini membuka peluang kepada Malaysia untuk menilai semula potensi koko sebagai salah satu komoditi strategik negara,” katanya.