Kuala Lumpur – Isu perkauman di Malaysia adalah realiti yang perlu dihadapi oleh masyarakat majmuk, bukan sekadar permainan politik semata-mata, demikian pandangan diutarakan dalam sesi Ngopi terbaru yang dihoskan Daniel Teoh bersama penyeldik bebas, Amirul Mukminin, dan pengasas bersama UNDI18, Tharma Pillai.
Amirul menjelaskan bahawa kekeliruan sering timbul apabila merujuk kaum atau bangsa. Menurutnya, Bangsa Malaysia adalah bangsa kebangsaan, sementara pecahan seperti kaum Cina, Melayu, dan India adalah etnik. Beliau turut menekankan bahawa kepelbagaian etnik ini, termasuk subetnik seperti Jawa dan Bugis, menjadikan isu perkauman lebih ketara.
Pendidikan sering dicadangkan sebagai jalan penyelesaian untuk memupuk identiti nasional dan keharmonian. Tharma menegaskan bahawa kemampuan untuk bertutur Bahasa Melayu dengan baik adalah asas penting untuk interaksi. Bagaimanapun, cabaran utama wujud akibat sistem pendidikan yang berpecah-pecah, menyebabkan kurangnya percampuran dan wujudnya “parallel society”.
Panelis bersetuju bahawa masalah ekonomi dan kelas merupakan punca utama kepada isu sosial dan jenayah, namun ia sering dibayangi oleh retorik perkauman. Dalam perbincangan yang sama, Amirul turut mengkritik tindakan seperti menyertakan pecahan kaum dalam statistik jenayah rasuah, seperti data Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang hanya menambah “perisa” perkauman dan mengalihkan tumpuan daripada masalah moral atau desakan ekonomi sebenar.
Bagi bergerak ke hadapan, kedua-dua panelis bersetuju bahawa kerajaan perlu serius dalam mencari ideologi asas untuk menyatukan rakyat Malaysia. Mereka mencadangkan agar Rukun Negara diperkukuhkan, terutamanya dengan menghayati objektifnya yang merangkumi liberalisme kebudayaan dan demokrasi yang sihat.
Selain itu, interaksi harian antara kaum perlu digalakkan bagi membunuh kecurigaan, menggantikan konsep toleransi yang disifatkan kurang ikhlas, dengan pemahaman dan rasa hormat yang mendalam.