
HANGZHOU – Malaysia akan terus terbuka kepada pelaburan serta kerjasama China dalam bidang teknologi digital yang berupaya membawa manfaat bersama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada majlis perasmian Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima di sini pada Khamis, Anwar yang juga Menteri Kewangan memuji kesediaan kerajaan China mengetengahkan dan berkongsi teknologi menerusi pelbagai platform daripada sektor makanan sehinggalah kepada teknologi baharu. Sejajar dengan perkembangan ekonomi digital, katanya, Malaysia akan terus membuka ekonominya bagi meraih manfaat daripada pelaburan dan kerjasama digital, sambil merakamkan penghargaan atas ruang yang diberikan untuk mempamerkan pavilion Malaysia di ekspo berkenaan.
Perdana Menteri turut menonjolkan kelebihan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, antaranya disiplin dan kemahiran tenaga kerja yang menguasai pelbagai bahasa, ekonomi berasaskan peraturan, serta kedudukan sebagai pangkalan yang mampu menembusi pasaran di serata Asia dan rantau lain.
Anwar juga menyambut baik pendirian tegas Presiden China Xi Jinping mengenai peranan perdagangan digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam merapatkan jurang ketidaksamaan, bukannya memburukkannya. Memetik peribahasa Cina yang membandingkan sekuntum bunga yang mekar sendirian dengan taman yang indah apabila banyak bunga mekar serentak, beliau menegaskan kemajuan menjadi sia-sia jika manfaatnya hanya dinikmati segelintir negara, syarikat, komuniti atau golongan elit. Menurutnya, ekonomi digital yang kukuh ialah keadaan yang membolehkan lebih banyak negara mengambil bahagian, lebih banyak syarikat bersaing dan lebih ramai rakyat menikmati kemakmuran.
Ekspo selama lima hari di Pusat Konvensyen dan Pameran Besar Hangzhou itu dirasmikan Perdana Menteri China Li Qiang dan merupakan antara platform ekonomi digital utama negara itu yang mengetengahkan AI serta kerjasama global. Anwar berada di China sempena lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou yang berakhir hari ini, merangkumi mesyuarat dua hala peringkat tinggi bersama Li serta pertemuan dengan pemimpin dan kapten industri China.
Sumber : Bernama