
KUALA LUMPUR: Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi memuji keberanian dan prinsip Datuk Seri Anwar Ibrahim di tengah-tengah serangan berterusan Amerika Syarikat dan Israel terhadap negara itu.
Beliau berkata, kepimpinan Anwar adalah petanda jelas yang menjajar kepada landasan sejarah yang betul dan akan meningkatkan kedudukan diplomatik Malaysia.
“Sejarah akan menilai kedudukan kebijaksanaan sedemikian dengan adil dan rakyat Iran tidak akan sesekali melupakan pendirian sokongan kerajaan dan rakyat Malaysia,” katanya semalam.
Beliau berkata, dunia perlu bersuara menentang jenayah perang Amerika dan Israel terhadap Iran, sambil memberi amaran bahawa sikap berdiam diri dalam menghadapi tindakan sedemikian dianggap bersubahat.
“Komuniti antarabangsa tidak boleh bersikap acuh tak acuh. Berdiam diri dalam menghadapi tindakan seumpama itu adalah satu persubahatan. Menyasarkan infrastruktur awam mesti dikutuk tanpa ragu-ragu atau mengamalkan dwistandard.
“Jika tindakan ini dibenarkan berterusan tanpa penelitian, kedaulatan mana-mana negara dan keselamatan mana-mana orang awam tidak akan terjamin.
“Jika mereka boleh melakukan jenayah sedemikian terhadap satu negara, mereka boleh melakukan perkara yang sama kepada negara lain melainkan mereka dipertanggungjawabkan,” katanya.