
TONGOD (Sabah): Anda pernah dengar durian merah atau lebih dikenali sebagai Maraang di kalangan penduduk di pantai timur Sabah?
Buah eksotik yang mempunyai rasa lemak manis serta kaya dengan khasiat tersendiri itu turut menjadi sebahagian daripada warisan makanan masyarakat tempatan.
Maraang dikatakan berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai produk ekonomi baru bernilai tinggi serta menembusi pasaran serantau Asia.
Dalam kalangan masyarakat Sungai, durian merah lazimnya ditumis menjadi sambal dan dinikmati bersama nasi, sekaligus menjadikannya menu tradisional yang popular serta menambahkan keenakan hidangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata keunikan Maraang wajar diberi perhatian serius, khususnya melalui kajian dan pembangunan varieti tanaman menggunakan teknologi agronomi moden oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI).
Menurut beliau, pendekatan agronomi moden mampu menghasilkan anak benih durian merah yang bermutu tinggi, dengan saiz pokok yang lebih rendah dan produktif berbanding kaedah penanaman tradisional sedia ada.
“Saya yakin Menteri MAFFI, Datuk Jamawi Jaafar, yang berpengalaman luas dalam industri pertanian berasaskan durian, mampu mengetengahkan varieti durian merah sebagai tanaman secara moden.
“Apabila durian merah menjadi tanaman utama di negeri ini, pengeluaran buah eksotik itu akan meningkat sekali gus memperluas pasaran negeri,” katanya.