
KUANTAN: Impiannya untuk menjadi doktor dipendam setiap hari dan selepas enam tahun bertungkus lumus, Abdul Manaf Abdul Aziz, 24 berjaya mencapai cita-citanya tu.
“Hari ini semua impian itu jadi kenyataan,” kata anak ketiga daripada lima beradik tu.
Menurutnya, dia bersyukur akhirnya janji pada ayah, Abdul Aziz Osman pada 2019 kini berjaya ditunaikan tanpa membebankan keluarga berkat sokongan dan bantuan pelbagai pihak.
Katanya, tanpa sokongan dan bantuan pihak yang prihatin terhadap nasibnya yang membesar tanpa ibu tidak mungkin dia mampu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan.
“Saya bersyukur Allah telah makbulkan doa saya selama ini untuk menjadi doktor bagi membantu memberi rawatan pada golongan pesakit. Kepayahan dan cabaran selama enam tahun di UIAM telah berjaya diharungi.
“Selepas ini saya akan mengikuti latihan kedoktoran di hospital selama dua tahun sebelum bertugas sebagai pegawai perubatan bertauliyah,” katanya pada Majlis Angkat Sumpah Doktor Perubatan Kulliyyah Perubatan UIAM Kampus Kuantan, di sini, semalam.