
MANJUNG: Suatu ketika dulu, beliau tangkas dan teliti menyusun strategi misi ketenteraan di dalam serta luar negara.
Namun, tiada yang menyangka, sangka bekas Panglima Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda (B) Datuk Anuar Alias ini juga kreatif mengubah suai pakaian bertemakan loreng tentera.
Jawatan terakhirnya ialah Komander Pangkalan Lumut tapi ini beliau menjahit baju T dan seluar yang diubah suai dengan memadankan pelbagai koleksi loreng tentera.
Menurutnya, sejak menamatkan perkhidmatan selepas 41 tahun menabur bakti kepada negara, beliau menjadikan hobi menjahit sebagai menjadi aktiviti hampir setiap hari.
“Sebagai tentera dan anggota Paskal, kita memang sentiasa bersedia dalam sebarang tugas, jadi pastinya agak kekok kerana rutin harian saya berubah selepas bersara. Sebab itu saya habiskan masa dengan pelbagai aktiviti bermanfaat, termasuk menjahit.
“Kebetulan saya mempunyai ratusan koleksi pakaian loreng tentera, termasuk dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Iran, Korea Selatan, Jepun, Perancis, Poland, Kemboja dan Jerman yang saya kumpul sejak dalam perkhidmatan selepas bertukar dengan rakan negara itu.
“Saya suka sesuatu berbeza, jadi saya ubah suai baju T seperti ubac (baju T dengan loreng tentera) dengan mencantumkan loreng dijadikan sebagai tangan baju, malah ada dua loreng berbeza negara saya jadikan sehelai seluar,” katanya. – Harian Metro.