
KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan dua anggotanya maut dalam satu latihan membaling grenad atau bom tangan di Kem Hobart, Gurun, Kedah pagi tadi.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, berkata mangsa terdiri daripada Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Diraja Malaysia (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
“Mereka mengalami kecederaan akibat letupan semasa Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur RAJD Divisyen Kedua Infantri Malaysia yang dilaksanakan di Kem Hobart pada jam 10.57 pagi.
“Kedua-dua anggota dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata kedua-dua jenazah akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk proses bedah siasat.