Dua Penjenayah Tegar Ditembak Mati Berbalas Tembakan Polis Kajang

Foto Datuk M. Kumar / Bernama

KUALA LUMPUR: Dua penjenayah tegar warga tempatan ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Jalan Persiaran Seri Putra 2, Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor pada jam 9.10 malam tadi. Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk M. Kumar mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan siasatan mendapati kedua-dua suspek disyaki terlibat dalam beberapa kes samun di sekitar Lembah Klang.

Pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan sepucuk pistol jenis revolver, beberapa butir peluru dan kelongsong peluru, empat bilah parang, peralatan pecah rumah, topeng muka dan sarung tangan. Penemuan itu mengesahkan suspek bersedia untuk melakukan jenayah serius sebelum ditumpaskan dalam operasi tersebut. Kumar memaklumkan sidang media berhubung insiden itu akan diadakan esok untuk keterangan lanjut.

Sumber: Bernama