
DUNGUN: “Panahan kali ketiga itu menyebabkan saya dan tekong bot cedera,” kata pemancing, Mohd Rozila Omar selepas bot gentian kaca yang dinaiki bersama empat yang lain dipanah petir, pagi semalam.
Mohd Rozila, 41, berkata kejadian jam 4 pagi ketika dia bersama tekong dan tiga rakan memancing kira-kira 25 batu nautika dari Kuala Paka.
“Ketika sedang memancing jam 2 pagi, ribut dan ombak besar mula membadai bot yang menyebabkan bot kami terumbang-ambing.
“Kami mengambil keputusan segera bertolak pulang dan ketika itu bot tidak boleh memecut laju kerana berdepan dengan gelombang besar,” katanya ketika ditemui di Hospital Dungun.
Katanya, sepanjang perjalanan itu bot yang dinaikinya itu hampir terkena dua kali panahan petir yang kuat dan menakutkan.
Panahan kuat yang ketiga mengenai bahagian belakang bot sehingga menembusi atap bot dan menyebabkan enjin bot rosak.
Katanya, ketika itu dia dan tekong bot sudah tidak bermaya dan hanya mampu menahan kesakitan sementara tiga rakannya melabuhkan sauh sambil berharap bot mereka tidak tenggelam.
“Kami semua ketika itu hanya ingat mati dan ada menghubungi untuk meminta bantuan rakan nelayan di darat namun semua rakan tidak berani keluar membantu kerana ribut masih kuat,” katanya.