Dr Hanis Siapkan Tesis Tanpa Pembetulan di UK

Foto Dr Hanis Hidayu Kasim

KUALA LUMPUR: Pensyarah perubatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Hanis Hidayu Kasim mencatat pencapaian luar biasa apabila menyiapkan tesisnya yang diluluskan tanpa sebarang pembetulan.

Ia sekaligus mengharumkan nama Malaysia dengan menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) bidang pediatrik di Universiti Cambridge, United Kingdom (UK)

Kejayaan ini membuktikan anak tempatan tidak ada kurangnya berbanding pelajar cemerlang antarabangsa dengan menghasilkan kualiti penyelidikan bertaraf dunia.

Dr Hanis berkata, tesisnya berjudul ‘Study of Fat Metabolism and the Interplay with Insulin in Preterm Infants in the First Year of Life’ menumpukan kepada kajian metabolisme lemak dan hubungannya dengan insulin dalam kalangan bayi pramatang sepanjang tahun pertama kehidupan mereka.

Menrutnya, kajian ini dianggap unik kerana menggabungkan dua komponen utama iaitu lipidomik (kajian lemak) dan insulin serta membabitkan pemantauan selama setahun dalam kelompok bayi berisiko tinggi.

Dr Hanis berkata, ia membuka perspektif baru terhadap intervensi bayi pramatang, yang dilihat bukan saja kritikal ketika berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), malah memberi kesan jangka panjang terhadap tumbesaran dan tahap kesihatan mereka.