
JOHOR BAHRU: Keluar mengundi dan jangan pulau pilihan raya. Itulah seruan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina atau Dong Jiao Zong (DJZ) kepada pengundi di Johor dan Negeri Sembilan bagi menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya negeri (PRN).
Dalam satu kenyataan, gabungan itu mengingatkan pengundi supaya tidak memulaukan pilihan raya walaupun kecewa dengan perkembangan politik semasa. Menurut DJZ, tindakan sedemikian hanya akan menguntungkan pihak yang mengabaikan hak pendidikan dalam pelbagai aliran.
“Nilai setiap undi di tangan setiap warga Johor dan Negeri Sembilan tidak wajar disia-siakan hanya kerana rasa tidak puas hati terhadap situasi semasa,” menurut kenyataan itu.
“Sebaliknya, mereka harus keluar mengundi demi mempertahankan pendidikan bahasa ibunda dan kemajmukan masyarakat,” tambah kenyataan tersebut.