
KUALA LUMPUR: GENDANG Cina sudah dipalu. Dong Jiao Zong, gabungan yang mengepalai 134 persatuan Cina, melaung seruan agar pengundi luar khususnya yang bekerja di luar Johor pulang dan keluar mengundi beramai-ramai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Jangan pulaukan PRN Johor,” laung gabungan itu. Dan seruan itu kini disahut.
Kesannya mula terasa di lapangan. Pengundi Cina yang sebelum ini kurang berminat dilihat kembali stabil sehari sebelum parti-parti memasuki fasa pecutan akhir, tinggal beberapa jam lagi sebelum pengundian. Perkembangan ini mencerahkan peluang Pakatan Harapan (PH) namun gabungan itu masih menjadi pasukan pilihan bawah, dengan tiga pemboleh ubah utama bakal menentukan keputusan akhir.
Debaran terbesar pilihan raya kali ini tertumpu kepada tiga persoalan: ke mana undi Melayu akan menghala akhirnya, sama ada pengundi luar benar-benar pulang mengundi, dan sama ada pengundi muda mampu menjadi kekuatan yang mengubah medan persaingan.
Awal kempen: nada kecewa terhadap PH
Pada peringkat awal kempen, sentimen paling lazir kedengaran ialah ketidakpuasan hati terhadap PH.
Ramai pengundi Cina mengkritik prestasi PH dalam tempoh dua tahun lalu, meluahkan kekecewaan terhadap dasar-dasar seperti e-Invois serta isu penternakan babi di Selangor. Di Mengkibol, beberapa pengundi malah kesal apabila Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak bertanding di kawasan itu, sehingga mempertimbangkan untuk tidak keluar mengundi langsung.
Mengkibol yang terletak di bawah kerusi Parlimen Kluang merupakan kawasan majoriti Cina kira-kira 57 peratus dan selama ini menjadi kubu kuat DAP.
Pertengahan kempen: suasana mula bertukar
Menjelang hujung minggu, apabila kempen memasuki fasa pertengahan, suasana di lapangan berubah dengan ketara.
Setiap kali calon dan pemimpin PH muncul, semakin ramai pengundi meminta bergambar, bersalaman dan menyatakan sokongan secara proaktif. Kehadiran orang ramai di ceramah politik turut meningkat berbanding hari-hari awal kempen. Berbanding permulaan kempen, masyarakat Cina kini memberikan sambutan lebih mesra kepada calon PH, malah ramai menyatakan secara terus terang mereka akan menyokong dan mengundi PH.
Dua faktor di sebalik peralihan
Peralihan ini mungkin didorong oleh dua faktor.
Pertama, sebahagian pengundi luar Johor yang bekerja di tempat lain pulang ke kampung pada hujung minggu, sekali gus meramaikan kehadiran di kawasan masing-masing.
Kedua dan barangkali lebih besar selepas seminggu berkempen, naratif berterusan PH yang memfokuskan kepada “kerjasama BN-PAS” mula mendapat perhatian, sekali gus menggerakkan semula sebahagian asas pengundi Cina.
Namun, jika strategi ini terus menjadi sandaran utama kempen, keberkesanannya dijangka luntur secara beransur-ansur. Dalam tempoh beberapa jam akan datang, setiap kem perlu membentangkan lebih banyak dasar dan visi masa depan, bukan sekadar bergantung kepada mobilisasi emosi. Peralihan ini juga tidak semestinya bermakna pengundi Cina yang kecewa telah menukar fikiran sepenuhnya.
Penentu sebenar: ke mana undi Melayu?
Walaupun pelbagai tinjauan pendapat menunjukkan Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan, penentu sebenar keputusan tetap tertumpu kepada hala tuju undi Melayu.
Sebelum pilihan raya, beberapa pemimpin PH percaya bahawa sekiranya undi Melayu berpecah, mereka berpeluang “menang dalam kekalutan”. Namun, dengan tindakan Perikatan Nasional (PN) menarik diri daripada 23 kerusi dan PAS menggesa penyokongnya mengundi BN, andaian yang asalnya bersandarkan persaingan tiga penjuru itu kini sukar direalisasikan.
Buat masa ini, BN masih kekal dengan kelebihan di hadapan sementara PH bergantung pada gelombang sokongan Cina yang baru pulih, harapan agar pengundi luar benar-benar pulang, dan potensi pengundi muda yang belum teruji. Dalam beberapa jam terakhir sebelum peti undi dibuka, ketiga-tiga pemboleh ubah inilah yang akan menentukan sama ada gendang Dong Jiao Zong cukup kuat untuk mengubah irama persaingan.