
KUALA LUMPUR: Dividen sekitar 5.8 hingga 6.3 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.5 hingga 6.0 peratus bagi Simpanan Shariah bagi 2025 dijangka diagihkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), lapor Berita Harian.
Akhbar itu memetik Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, sebagai berkata jangkaan itu sejajar dengan prestasi pendapatan pelaburan sembilan bulan pertama yang kukuh.
Bagaimanapun, perkara itu masih tertakluk kepada disiplin realisasi keuntungan dan keperluan rizab jangka panjang dana persaraan itu.
Beliau berkata, kadar jangkaan itu juga adalah munasabah berdasarkan prestasi sembilan bulan serta pendekatan tadbir urus KWSP yang menitikberatkan kelestarian dana.
“Berdasarkan prestasi sembilan bulan dan disiplin realisasi serta rizab KWSP sendiri, jangkaan bagi dividen 2025 adalah sekitar 5.8 hingga 6.3 peratus untuk Simpanan Konvensional dan sekitar 5.5 hingga 6.0 peratus untuk Simpanan Shariah,” katanya.
Samirul berkata, realiti penting yang perlu difahami pencarum ialah bukan semua keuntungan pasaran boleh diagihkan sebagai dividen, khususnya keuntungan yang masih belum direalisasi.
“KWSP menegaskan bahawa keuntungan ‘mark-to-market’, termasuk yang dipacu pertukaran asing dan belum direalisasi, tidak boleh diagihkan sebagai dividen,” katanya.