Diskaun Tol 50 Peratus Sempena Krismas

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Diskaun tol 50 peratus daripada kadar tol biasa selama dua hari, iaitu pada 23 dan 24 Disember ini akan diberikan kepada pengguna kenderaan persendirian sempena sambutan Hari Krismas.

Diskaun tol ini diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dalam satu kenyataan berkata kerajaan akan menanggung implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya yang terbabit.

“Pemberian diskaun tol ini diharap dapat meringankan sebahagian daripada beban kos perjalanan rakyat yang merancang pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama-sama keluarga, selaras dengan hasrat Kerajaan Madani membantu rakyat semua peringkat merentas kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya.