Disekat Israel, graduan Palestin tak dapat terima skrol PhD UMT

Foto Hiasan

KUALA NERUS: Tanggal 26 Oktober sepatutnya menjadi hari bahagia bagi Moath Abdi Kareem Abu Al-Rob, 41, tetapi hasrat graduan dari Palestin itu untuk menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-23 tidak kesampaian apabila dikenakan sekatan oleh rejim Israel.

Moath Abdi Kareem yang menamatkan pengajian dalam bidang perakaunan telah pulang ke tanah airnya di Qabatia, utara Tebing Barat pada Januari lalu untuk bersama keluarga tersayang.

Bagaimanapun dia terpaksa melupakan impiannya untuk menghadiri majlis konvokesyen bersama rakan-rakan disebabkan situasi perang yang tidak mengizinkan.

“Majlis konvokesyen ini amat bermakna bagi saya. Walaupun saya tidak dapat hadir secara fizikal, saya tetap meraikan detik membanggakan ini dari tanah air saya, dikelilingi oleh keluarga tercinta.

“Saya amat berterima kasih kepada komuniti UMT dan rakyat Malaysia atas kebaikan serta sokongan yang tidak pernah putus,” katanya.