Disambar petir ketika pulang memancing

Foto Kosmo

ALOR SETAR: Malang tidak berbau. Seorang lelaki maut disambar petir ketika pulang memancing bersama rakannya di Jeti Nelayan Teluk Baru, dekat Langkawi, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin, berkata mangsa, Ishak Hashim, 57, dari Kampung Berjaya, Langkawi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

“Mangsa yang juga pemilik bot keluar memancing bersama tiga rakannya pada jam 8 pagi melalui jeti nelayan itu.

“Kira-kira jam 7.20 malam mereka semua pulang semula ke jeti selepas selesai memancing dalam suasana hujan dan mereka semua berlindung di bawah bumbung jeti berkenaan.

“Mangsa sempat mencuci bot dan menunaikan solat Maghrib sebelum mengambil keputusan pulang ke rumah walaupun dalam keadaan hujan kerana sudah basah dan tidak tahan sejuk,” katanya.