Diplomasi Ekonomi dan Jurang Pembangunan Asean

Foto Universiti Kebangsaan Malaysia – UKM

BANGI: Diplomasi ekonomi kini menjadi instrumen penting dalam hubungan antarabangsa, khususnya di rantau Asean dan pelaburan langsung asing (FDI) bukan sekadar pemacu pertumbuhan ekonomi, tetapi perlu diurus dengan strategi yang memastikan manfaatnya diagihkan secara adil kepada semua negara anggota.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Sufian Jusoh, berkata Asean tidak boleh hanya bergantung kepada aliran modal semata-mata.

“Kita mesti memastikan pelaburan yang masuk membawa pembangunan inklusif, mengurangkan jurang, dan memperkukuh integrasi serantau,” ujar beliau dalam syarahan Syarahan Perdana Profesor bertajuk “Diplomasi Ekonomi, Pelaburan Langsung Asing dan Jurang Pembangunan di Asean”.

Majlis yang berlangsung di Bilik Senat, Aras 5, Jabatan Pendaftar UKM itu dihadiri oleh warga akademik, pelajar, serta wakil-wakil industri dan kerajaan, sekaligus menandakan komitmen UKM dalam memperkukuh peranan sebagai universiti penyelidikan bertaraf dunia.

Prof. Sufian turut menyorot jurang pembangunan yang ketara di antara negara anggota Asean.

Beliau menekankan bahawa dasar ekonomi serantau perlu lebih inklusif agar negara-negara yang kurang maju tidak ketinggalan dalam arus globalisasi.

Menurutnya, Malaysia mempunyai peranan penting sebagai pemacu integrasi ekonomi Asean, dengan keupayaan menarik pelaburan berkualiti serta menjadi jambatan antara negara maju dan membangun di rantau ini.

Prof. Sufian dilantik sebagai Naib Canselor UKM ke-14 pada Jun 2025. Beliau adalah pakar dalam bidang undang-undang ekonomi antarabangsa, perdagangan global, dan pelaburan asing, dengan pengalaman luas memberi pandangan kepada badan serantau dan global.