
KUALA LUMPUR: Disebabkan laungan Bebaskan Palestin, sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF) yang ditahan Israel, dipaksa melutut dengan tangan diikat dengan tali zip nilon selama lima jam.
ADALAH, iaitu Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel mendedahkan, dalam tempoh 24 jam lalu, mereka dapat bertemu dengan 331 sukarelawan di Pelabuhan Ashdod.
Kumpulan sukarelawan itu kini berdepan perbicaraan di hadapan pihak berkuasa imigresen Israel.
Menurut ADALAH, beberapa peserta sebelum itu dipercayai melalui proses tanpa khidmat nasihat undang-undang kerana peguam ADALAH pada mulanya tidak dibenarkan mengakses mereka.
“Hak peserta dicabuli secara sistematik sepanjang proses ini. Selain dinafikan akses kepada air, tandas dan ubat-ubatan, mereka juga dinafikan akses kepada peguam, yang melanggar hak asasi mereka kepada proses keadilan, perbicaraan yang adil dan wakil undang-undang.
“Ketika lokasi sukarelawan flotila tidak diketahui, peguam dibiar menunggu kira-kira sembilan jam di luar Pelabuhan Ashdod dan tidak dimaklumkan apabila pihak imigresen Israel mula memproses dan menjalankan perbicaraan.
“Ia hanya diketahui selepas tahanan sendiri menghubungi mereka secara langsung.
“Walaupun beberapa kali dihalang masuk oleh polis Israel, peguam ADALAH akhirnya berjaya memasuki pelabuhan dan memberikan khidmat nasihat kepada 331 peserta,” kata wakil ADALAH
Beberapa aktivis melaporkan dikasari, diancam dan diganggu, termasuk dikejut secara kasar setiap kali cuba tidur.