Didakwa miliki saham RM800,000, Azam kata laporan berniat jahat

Foto Hiasan

SHAH ALAM: Bloomberg dalam laporannya mendakwa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Azam, 62, dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu..

Ia adalah pendedahan awam pertama mengenai pegangan saham besar atas namanya sejak kontroversi beberapa tahun lalu berhubung pegangan sahamnya yang mencetuskan protes menuntut beliau meletakkan jawatan.

Nilai pegangan itu dianggarkan bernilai hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan pada Isnin.

Sementara itu, Azam menegaskan pegangan saham miliknya itu dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Beliau berkata, perkara itu tidak disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya.

“Saya sudah membuat pengisytiharan berhubung perkara ini, termasuk sumber pendapatan saya melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Semuanya telus,” katanya.