
Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan isterinya menerima mesej berbaur ugutan iaitu ‘diam, jika teruskan, Aids,’ selepas anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun diserang semalam.
Katanya, mesej itu diterima sekitar jam 1.45 tengah hari yang turut disertakan emoji picagari.
“Pagi ini pun saya terima mesej sama, ‘diam, andai teruskan AIDS’, kemudian emoji picagari dari nombor telefon yang sama, ” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, berkata beliau melihat ada tiga kemungkinan mengenai cecair yang disuntik dalam serangan terhadap anak lelakinya itu.
“Pertama yang disuntik itu sama ada dadah atau racun. Kedua yang disuntik itu berbentuk viral, sama ada hepatitis, HIV dan lain-lain.
“Ketiga, ia hanya kosong seperti air. Jadi sebab itu anak saya perlu lalui proses (mengenal pasti bahan cecair disuntik) dalam masa beberapa bulan ini,” katanya.