Dewan Rakyat Lulus Pindaan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2026

Dewan Rakyat meluluskan RUU Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026. — Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026, sekali gus memperluaskan bidang kuasa akta berkenaan bagi kesalahan yang dilakukan di luar negara. RUU itu diluluskan dengan undi majoriti selepas dibahaskan oleh 25 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, pindaan memperluaskan pemakaian luar wilayah itu bertujuan memastikan pelaku yang mempunyai kaitan dengan Malaysia tidak terlepas daripada tindakan undang-undang semata-mata kerana kesalahan dilakukan di luar negara.

Ketika menggulung perbahasan, beliau menjelaskan pindaan tersebut tidak bermakna Malaysia akan secara automatik mengambil alih setiap kes di luar negara, sebaliknya negara tempat kesalahan berlaku kekal mempunyai bidang kuasa utama untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan mengikut undang-undang masing-masing.

“Sekiranya laporan dibuat di kedua-dua negara, pihak berkuasa akan berunding dan bekerjasama melalui saluran kerjasama antarabangsa bagi menentukan tindakan paling sesuai berdasarkan fakta kes, keterangan, lokasi saksi dan kepentingan keadilan,” katanya. — Bernama