Dewan Negara lulus RUU Pekerja Gig

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025, melakar sejarah baharu dalam melindungi lebih 1.2 juta pekerja gig di Malaysia dan meletakkan noktah kepada era tiada perlindungan undang-undang terhadap golongan itu.

RUU yang akan memberi perlindungan menyeluruh termasuk aspek kebajikan, keselamatan sosial dan hak mereka sebagai sebahagian tenaga kerja penting dalam ekonomi negara itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 18 Ahli Dewan Negara.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim ketika menggulung perbahasan RUU itu, berkata cadangan potongan secara automatik caruman bagi pekerja gig di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) bagi memperkukuh penguatkuasaan serta memperluas perlindungan sosial.

Beliau berkata pindaan itu bertujuan menangani kelemahan akta sedia ada khususnya dari segi kebolehkuatkuasaan dengan memperkenalkan potongan automatik melalui integrasi sistem antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) dengan platform.

“Pekerja gig dalam sektor e-hailing dan p-hailing sememangnya diwajibkan mencarum dengan PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial). Melalui peruntukan baru ini, caruman akan dipotong secara automatik pada kadar 1.25 peratus daripada pendapatan selepas ditolak komisen dan tip.

“Dalam erti kata lain, setiap RM1 hanya dipotong sekitar satu sen. Ini lebih praktikal berbanding kaedah semasa apabila mereka perlu membayar secara lump sum untuk pakej perlindungan kendiri bermula antara RM157.20 hingga RM592.80 setahun,” katanya.