
Sidang Dewan Rakyat sesi pagi pada Isnin kecoh seketika apabila isu 20 metrik tan sampah yang ditinggalkan peserta Himpunan Turun Anwar di ibu negara pada Sabtu lalu dibangkitkan.
Kekecohan tercetus apabila Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim mempertikai jumlah yang dinyatakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung sisa sampah yang dikutip.
Selain mendakwa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menipu dengan angka yang disebut sebelum itu, Awang turut mempersoalkan jumlah 20 metrik tan sampah yang didakwa tidak sepadan dengan jumlah 18,000 peserta yang hadir ke perhimpunan berkenaan seperti yang disahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Yang dikatakan sampah 20 metrik tan itu bukan dari saya, tapi laporan daripada SWCorp yang saya terima di lapangan, sehingga ratusan pekerja kita dikerahkan untuk membersihkan sampah selepas perhimpunan berbaju hitam. Saya tidak nafikan ada sekumpulan Unit Amal yang membantu membersihkan sampah. Saya ucapkan terima kasih, tapi tidak boleh nafikan juga 20 metrik tan sampah bersepah di SOGO, Dataran Merdeka dan Jalan Petaling. Itu laporan SWCorp,” kata Nga di Dewan Rakyat.