
BANGI: Barisan pendebat Universiti Malaya, Azhad Hafiz Md Razip Han, Muhammad Ammar Akrimi Azman, Khairul Nur Ayuni Rodzan Khairull dan Nur Amirah Syahirah Khairul Shakir memikat hati juri, sekaligus menjuarai Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) malam semalam.
Mereka membawa pulang Piala Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rauah Malaysia, wang tunai RM14,000 berserta piala pusingan, trofi dan sijil.
Berperanan sebagai pencadang (kerajaan) mereka menewaskan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di posisi pembangkang menerusi usul bertajuk ‘Demi menangani kes rasuah dewan ini akan mengutamakan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI)’.
Azhad menyifatkan kemenangan itu rezeki bagi latihan yang sudah dibuat sejak setahun lalu.
“Alhamdullilah, pertandingan kali ini memberi peluang kepada kami untuk mencuba sekali lagi sebab tahun lepas kami tidak berjaya ke peringkat akhir.
“Rezeki tahun ini kami diberi kemenangan. Kami bersyukur sangat-sangat sebab ini perjalanan kami panjang. Tiada kata yang dapat katakan selain syukur kepada Tuhan yang memberi rezeki kepada kami,” katanya.