
KUALA LUMPUR: Dua pengarah syarikat termasuk tokoh kewangan Islam terkenal, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, 62, dan Datuk Norliza Tajudin, 54, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tujuh pertuduhan pecah amanah berjumlah RM10.55 juta dalam tempoh tiga tahun lepas. Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin, dengan Daud Bakar yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia (BNM) diikat jamin RM100,000.
Mereka didakwa bersama-sama sebagai pengarah dan pemegang saham syarikat Energy Eco Sdn Bhd melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah antara RM200,000 hingga RM6 juta milik beberapa pihak termasuk Moideen Kunjayu, Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad dan Myad Kapital Sdn Bhd. Kedua-duanya didakwa secara tidak jujur menggunakan wang berkenaan dengan melanggar kontrak Shareholder’s Advance Agreement yang membabitkan perniagaan pembuatan sarung tangan patuh syariah antara 2021 hingga 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan serta denda jika sabit kesalahan. Bagi Norliza, pihak pendakwaan memohon syarat tambahan termasuk pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah membenarkan Norliza diikat jamin RM100,000 dengan pembayaran RM50,000 hari ini dan baki dilunaskan pada atau sebelum 18 Mei. Daud Bakar pula dilarang membuat sebarang komunikasi secara langsung atau melalui pihak ketiga dengan saksi pendakwaan dalam kes ini, dengan tarikh 19 Jun ditetapkan untuk sebutan kes seterusnya.
Sumber: Bernama