
KUALA LUMPUR: Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nsional Bhd (TNB) berkuatkuasa 1 Mac ini menggantikan Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.
Pelantikan itu adalah bagi tempoh setahun sehingga 28 Februari 2027, dengan pilihan lanjutan setahun lagi.
Tempoh perkhidmatan Shamsul di TNB menjangkau lebih 37 tahun dengan memegang pelbagai jawatan penting, khususnya dalam perniagaan penjanaan.
“Shamsul yang kini Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Pihak Berkepentingan, memainkan peranan penting dalam membentuk rangka kerja kawal selia industri bekalan elektrik Malaysia.
“Beliau menyelia keseluruhan strategi kawal selia, merangkumi aspek ekonomi dan dasar, termasuk rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), cadangan reka bentuk tarif serta perancangan sistem,” menurut TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Syarikat utiliti itu berkata, Shamsul turut memainkan peranan penting dalam mengetuai penglibatan strategik bersama pihak berkepentingan di peringkat domestik dan antarabangsa, sekali gus memupuk tahap kepercayaan tinggi yang penting bagi merealisasikan visi dan aspirasi jangka panjang TNB.