
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan parti itu akan terus kekal sebagai sebuah parti berbilang kaum dan menolak stigma yang melabelkannya sebagai parti Cina.
Menurutnya, DAP tidak boleh berpatah balik kepada pendekatan lama yang hanya menumpukan usaha meraih sokongan daripada satu kaum semata-mata, meskipun persepsi tersebut masih melekat pada parti itu sehingga kini.
“Sebagai seorang pemimpin, DAP harus kekalkan pendirian dan matlamat untuk menjadi sebuah parti yang fokus kepada berbilang kaum,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada perubahan komposisi parti yang kini diwakili Ahli Parlimen Melayu seperti Syahredzan Johan (Bangi) dan Young Syefura Othman (Bentong), selain wakil rakyat dalam kalangan masyarakat India serta Bumiputera dari Sabah dan Sarawak, satu kedudukan yang menurutnya memperkukuh identiti DAP sebagai parti berbilang kaum.