Dana 1MDB RM5b Dijangka Diperoleh Semula

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijangka diperolehi semula daripada beberapa individu, termasuk Ketua Eksekutif PetroSaudi, Tarek Obaid dan keluarga ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang sebelum ini dikesan menerima wang penyelewengan berkenaan.

Antara dana yang sedang diusahakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah berjumlah RM600 juta daripada Tarek.

Akaun-akaun milik ahli keluarga Jho Low pula difahamkan akan dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia dalam tempoh terdekat.

Dana dan aset daripada individu berkenaan adalah dalam jangkauan SPRM yang ketika ini menjangkakan sebanyak RM5 bilion akan dipulangkan semula kepada Malaysia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pasukan pegawainya sedang berunding mengenai penyelesaian itu dengan beberapa negara khususnya Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Kita jangka akan peroleh sekitar RM5 bilion dan pelbagai tindakan dilakukan ketika ini termasuklah ke Amerika dan United Kingdom untuk mendapatkan penyelesaian bersama suspek kes 1MDB.

“Sebagai contoh, kita sedang berunding menerusi kaedah penyelesaian dengan Tarek, yang dijangka akan memulihkan RM600 juta,” katanya.