Daftar bagi mudahkan penyaluran bantuan: Dr Zulkifli

Foto Harian Metro

PADANG BESAR: Semua institusi pendidikan Islam disaran berdaftar dengan pihak berkuasa agama Islam di negeri masing-masing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Ia sebagai langkah supaya pemantauan serta penyaluran bantuan pendidikan termasuk baik pulih prasarana sekolah dapat diberikan dengan efektif tanpa ada sebarang isu yang terlepas pandang.

Beliau berkata, pihaknya sangat menggalakkan agar semua institusi pendidikan Islam dapat mengambil langkah berkenaan terutama dalam usaha kerajaan memperkukuhkan institusi itu.

“Kita mohon kepada semua institusi dan sebenarnya, kita nak galakkan semua berdaftar agar kita dapat memantau serta membantu apa sahaja yang dikehendaki oleh pihak sekolah.

“Jadi apabila berdaftar adalah mudah untuk kita untuk membantu serta memperkukuhkan lagi institusi ini,” katanya.