
SHAH ALAM: Empat remaja 17 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes curi tabung Masjid Kristal Seksyen 7, di sini dan di sekitar Lembah Klang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata tangkapan itu dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D4 dan D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dengan kerjasama Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Sri Muda, Seksyen 25.
“Operasi dijalankan pada 22 dan 24 Februari lalu di antara jam 12.30 tengah malam hingga 3 pagi membabitkan serbuan di Seksyen 13, Shah Alam; hadapan Sky Suite KLCC, Arte Subang West dan Pangsapuri Tanjung, Seri Kembangan.
“Dalam operasi itu, polis menahan empat lelaki warga tempatan berusia 17 hingga 26 tahun. Semakan mendapati, semua suspek mempunyai rekod lalu berkaitan jenayah dan dadah, manakala salah seorang suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
Dalam operasi itu, Shazeli berkata, polis turut merampas kereta Toyota Avanza, empat unit telefon bimbit dan wang tunai RM200.
“Polis Selangor menasihati semua pengurusan masjid dan surau supaya memastikan sistem kamera litar tertutup (CCTV) sentiasa berfungsi dengan baik serta mengosongkan tabung kutipan secara berkala sebagai langkah pencegahan.
“Orang ramai juga diminta segera menyalurkan maklumat mengenai kehadiran individu mencurigakan di kawasan rumah ibadat bagi memastikan keselamatan serta kesuciannya terus terpelihara,” katanya.