
SHAH ALAM: Seorang remaja berusia 17 tahun adalah antara empat lelaki yang didakwa atas pertuduhan mencuri tabung sebuah masjid di Seksyen 7, dekat sini, pada 22 Februari lalu.
Tiga daripada mereka iaitu K Tineshuaran, 26; R Nishanraj, 22 dan SR Danesh, 27, didakwa di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman, manakala remaja berusia 17 tahun itu dituduh dalam prosiding tertutup.
Semua tertuduh mengaku salah atas pertuduhan secara bersama melakukan jenayah itu pada 22 Februari, kira-kira jam 4 pagi.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda dan bagi kesalahan berulang boleh dikenakan penjara dengan denda atau sebat.
Selaras pengakuan bersalah itu, Muhammad Safiq menjatuhkan hukuman enam bulan penjara bermula tarikh sabitan iaitu hari ini, serta denda RM4,000 ke atas tiga tertuduh.
Ketiga-tiga tertuduh turut diperintah menjalani hukuman penjara tambahan tiga bulan jika gagal membayar denda ditetapkan.