Cukai Tembakau Mungkin Naik

Foto PMO

Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan kadar cukai tembakau, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu sejajar dengan komitmen kerajaan terhadap kesihatan awam dan pembaharuan hasil negara, khususnya mengambil kira tempoh moratorium yang lama terhadap kenaikan cukai berkenaan.

“Saya setuju dengan semangat, bukan kerana saya tidak merokok, tetapi kerana adanya kempen antimerokok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan semalam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang perunding kesihatan awam mencadangkan kerajaan mengurangkan akses kepada produk merokok dan rokok elektronik dengan menaikkan cukai eksais.