Cukai Nilai Tinggi tak Diteruskan

Foto Fail

Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan cukai bernilai tinggi (HVGT), demikian menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Bagaimanapun, MOF berkata, prinsip bagi pengenaan HVGT diterapkan dalam kajian semula cukai jualan apabila barang mewah dan pilihan dikenakan kadar lima atau 10 peratus.

“Kerajaan telah mengambil beberapa langkah di bawah cukai langsung dan cukai tidak langsung untuk mengukuhkan kutipan hasil negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ia bagi menjawab pertanyaaan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan unjuran penambahan pendapatan negara hasil daripada pelaksanaan reformasi fiskal termasuk pengenalan cukai barang bernilai tinggi (HVG), cukai barangan digital (DGT), cukai keuntungan modal (CGT) dan cukai barang bernilai rendah (LVG) serta peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta rasionalisasi subsidi yang sedang dan bakal dilaksanakan.