
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa cubaan untuk menjatuhkan kerajaan didukung oleh warga tempatan dengan memanfaatkan pengaruh media dan institusi antarabangsa termasuk kelompok Zionis terkemuka.
Anwar berkata, siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mendapati gerakan berkenaan berpangkalan di luar negara dan mempunyai dana besar bagi merancang strategi untuk mempertikai dan menggugat kerajaan sedia ada.
Beliau berkata syarikat, badan dan tokoh yang terlibat dalam gerakan berkenaan telah mengadakan enam perjumpaan sepanjang 2025, sama ada di dalam mahupun luar negara.
“Dalam tempoh itu, strategi mereka untuk mendapatkan maklumat dan mempengaruhi melalui meja bulat antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, dan seterusnya menggerakkan international push.
“Kemudian, maklumkan Bloomberg (media antarabangsa) bagi tindakan selanjutnya.
“Strategi mereka seterusnya ialah menghubungi semua media asing dengan strategi mempertikai usaha kerajaan, khususnya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) serta menggunakan kekuatan dan kontak dengan negara-negara luar dengan tujuan memberi naratif mempertikai kewibawaan negara dan kerajaan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai status siasatan PDRM berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan, ancamannya terhadap demokrasi berparlimen pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.