Cuaca sejuk kerana tiupan angin luruan monsun China

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Cuaca sejuk sehingga 18 darjah Celsius di beberapa kawasan di Malaysia sejak beberapa harilalu adalah akibat tiupan angin sejuk luruan monsun dari Tanah Besar China.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata berdasarkan data, suhu minimum di kebanyakan tempat seluruh negara lebih rendah daripada kebiasaan, iaitu menurun di antara tiga hingga lima darjah Celsius pada 10 hingga 13 Januari lalu.

Menurutnya, keadaan suhu sama dijangka berulang pada 19 hingga 21 Januari, bergantung kepada pola angin luruan.

“Pagi tadi suhu sudah kembali normal. Bukan di Dungun, Terengganu sahaja tetapi banyak tempat seperti di kawasan pedalaman Dabong dan Gua Musang, masing-masing di Kelantan turut merekodkan suhu 18 darjah Celsius.

“Memang normal sekarang ini suhu di negara ini sejuk sedikit sebab anginnya yang datang dari kawasan sejuk,” katanya.

Mohd Hisham berkata, suhu rendah itu kebanyakannya berlaku pada awal pagi dan orang ramai tidak perlu terlalu bimbang dengan keadaan berkenaan.