
KUALA LUMPUR: Sumbangan kepada ekosistem teknologi tinggi, khususnya dalam penghasilan produk kecerdasan buatan (AI) adalah antara yang terbesar dan penting, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata, ia adalah bukti betapa mendalamnya integrasi industri negara dalam penghasilan teknologi masa depan.
Menurutnya, produk keluaran pengilang di Malaysia adalah komponen penting atau nadi kepada peranti canggih yang digunakan di seluruh dunia.
“Tanpa komponen ini, produk mereka (industri teknologi global) tidak akan lengkap dan tidak boleh dijual. Justeru, mereka sebenarnya amat bergantung kepada Malaysia,” katanya.
Perkembangan itu membuktikan betapa utuh integrasi industri negara dalam rantaian penghasilan teknologi masa hadapan dan ketua bank pusat berkenaan menambah, industri elektrik dan elektronik (E&E) negara kini berada di barisan hadapan.
“Ia bukannya industri yang sudah lapuk. Malaysia disifatkan sebagai terhubung dengan baik dalam rantaian nilai global elektronik,” katanya tegas menolak dakwaan industri E&E Malaysia sudah ‘senja’ .
Menurutnya, industri itu sebenarnya berada di hadapan kerana terbabit dalam teknologi terkini yang memacu dunia digital dengan Malaysia terbabit secara langsung dalam pembuatan advanced packaging.
Advanced packaging ialah satu proses teknologi tinggi di mana pelbagai komponen disatukan ke dalam satu cip. Teknologi ini jauh lebih kompleks berbanding pemasangan biasa yang dilakukan pada masa dahulu.
Beliau menambah, pelaburan asing (FDI) yang masuk ke Malaysia juga kini jauh lebih berkualiti berbanding dulu dengan pelabur tidak lagi sekadar membuka kilang pemasangan atau assembly line biasa yang tiada nilai tambah tinggi.