Ciapan Serangan Israel ke Kediaman PM, Polis Tahan Dua Lelaki

Foto Suara TV

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua pemilik akaun aplikasi X yang dikesan memuat naik ciapan menghasut dan ugutan jenayah mengenai serangan Israel ke atas kediaman Perdana Menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata siasatan dimulakan sejurus laporan polis diterima dan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5.

Beliau berkata, tangkapan dibuat ke atas dua lelaki, masing-masing berusia 37 dan 43 tahun yang disyaki mengendalikan akaun @ChongKahtze dan @iFactoReal.

“Akaun X @ChongKahtze memuat naik ciapan mengenai dakwaan Malaysia bakal diambil alih ekstremis sehingga mencetuskan revolusi.

“Manakala @iFactoReal memuat naik komen berkaitan serangan Israel ke atas kediaman Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kumar berkata, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes kedua pula disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Katanya, bagi suspek pertama, mahkamah membenarkan reman dua bermula hari ini, manakala suspek kedua pula dibenarkan reman empat hari berakhir Khamis ini.

Kumar berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, ugutan jenayah dan boleh menimbulkan kegentaran awam.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang cuba mengganggu keharmonian masyarakat di negara ini,” katanya.