Ceroboh Tanah: Pengerusi Kuil Didakwa

Foto NSTP / Nurul Bahaudin

SEPANG: Dituduh atas kesalahan menceroboh tanah milik orang lain di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pada 19 Jun tahun lalu, pengerusi sebuah kuil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini.

M Paramaguru, 49, yang juga pengawal keselamatan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, Paramaguru didapati melakukan kesalahan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan tanah milik Suhaili Ahmad tanpa kebenarannya.

Kesalahan itu dilakukan jam 4.45 petang di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pada 19 Jun tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Bagaimanapun peguam tertuduh, Darshela Hari Raja memohon jaminan lebih rendah memandangkan anak guamnya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,800 sebulan.

“Anak guam sudah berkahwin serta mempunyai dua anak masih kecil masing-masing berusia enam tahun dan 11 bulan, manakala isterinya berumur 41 tahun pula adalah suri rumah yang bergantung dengan pendapatan suami.

“Justeru, kami mohon jumlah wang jaminan lebih rendah dikenakan terhadap tertuduh memandangkan dia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis serta tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, manakala 12 Mac nanti sebagai tarikh serahan dokumen.