
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan adalah antara tokoh korporat, usahawan dan entiti korporat yang menerima pengiktirafan pada penganjuran sulung ‘Madani Business Awards 2025’, baru-baru ini.
Beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah ‘Madani Best CEO of the Year’.
Di samping Megat Jalaluddin, antara tokoh-tokoh korporat lain yang diiktiraf ialah Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd, Datuk Profesor Dr Mohd Azmi Mohd Lila yang menerima ‘Madani Nation Housing Visionary Award’ dan Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Encorp Bhd, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff untuk ‘Madani Corporate Reform Award’.
Selain itu, Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Ts Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen dipilih sebagai penerima ‘Madani Cyber Security Award’.
Anugerah Best CEO of The Year kepada Megat Jalaluddin adalah pengiktirafan terhadap kepemimpinan cemerlang beliau dalam menerajui transformasi sektor tenaga negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Madani Business Awards 2025 Mohd Yahya Mat Sahri.
“Penganugerahan ini adalah pengiktirafan tertinggi terhadap kepemimpinan cemerlang beliau dalam menerajui transformasi sektor tenaga negara,” katanya.
Menurut Mohd Yahya, pemilihan itu dibuat setelah panel penilai mengambil kira rekod pencapaian beliau dalam memacu pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), termasuk peluasan tenaga boleh baharu, pemodenan infrastruktur grid menerusi inisiatif Grid of the Future, serta komitmen TNB terhadap matlamat Net Zero Emissions menjelang 2050.
“Usaha ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membina sebuah ekonomi rendah karbon dan mampan berteraskan kerangka Ekonomi Madani,” katanya.
Dalam tempoh kepemimpinan beliau, TNB turut mencatat prestasi operasi dan kewangan yang stabil hasil pelaksanaan digitalisasi menyeluruh membabitkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), data raya, automasi grid dan platform perkhidmatan pelanggan yang lebih efisien.
Selain itu, Megat Jalaluddin turut memainkan peranan penting dalam pelaksanaan projek-projek strategik nasional di bawah NETR, termasuk projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), Solar Berskala Besar (LSS) dan pembangunan ekosistem kenderaan elektrik melalui rangkaian pengecasan TNB Electron.
“Inisiatif ini telah memberikan impak positif terhadap pertumbuhan industri tenaga serta menyokong komitmen negara ke arah ekonomi hijau,” katanya.