
KAJANG: Setelah ditahan selama 13 bulan 20 hari, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali bersama 12 lelaki lain dibebaskan dari Penjara Kajang.
Peguam utama pembelaan, Datuk Rosli Kamaruddin, berkata anak guamnya dibebaskan walaupun masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 bulan selepas mengaku bersalah menjadi ahli pertubuhan haram.
“Mereka tidak perlu kembali ke Penjara Sungai Buloh lagi. Semua urusan akan diselesaikan di sini.
“Tempoh reman selama 13 bulan, ditambah dengan pengurangan hukuman standard sebanyak satu pertiga, melayakkan mereka untuk dibebaskan,” katanya ketika ditemui di luar Kompleks Mahkamah Penjara Kajang.
Beliau berkata, bagi sembilan tertuduh wanita yang masing-masing dikenakan denda RM4,500, pembayaran akan dibuat di lokasi sama sebelum mereka dibebaskan.