Cedera Penjawat Awam Boleh Gugat Ketenteraman: Saifuddin

Foto Fail

MELAKA: Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya insiden ke atas Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, yang cedera dilontar batu ketika mengawal keadaan dalam operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan ganas sehingga mencederakan penjawat awam itu tidak boleh diterima dan adalah perbuatan jenayah.

Susulan itu, beliau mengarahkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengambil tindakan segera dan tegas mengesan pelaku serta mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang.

“Perbuatan ini tidak ada kena-mengena dengan hak kebebasan berhimpun yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia adalah perbuatan jenayah yang mesti diambil tindakan segera.

“Kerajaan Madani berpegang kepada prinsip menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan beradab, namun kebebasan berhimpun itu perlu seiring dengan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak.

“Penganjur ada tanggungjawab, peserta juga ada tanggungjawab, malah polis juga ada tanggungjawab kerana hak berhimpun tidak boleh dijadikan alasan melanggar undang-undang,” katanya.