
SEBERANG PRAI: Sengketa makanan tak sedap berakhir tragedi dalam restoran apabila seorang tukang masak maut ditikam.
Insiden bermula apabila berlaku pertengkaran di antara seorang tukang masak wanita warga Myanmar dan seorang pelanggan berhubung dakwaan makanan tidak enak di restoran berkonsep Thai di Lorong Bukit Juru di sini.
Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan.
Suaminya, yang juga warga Myanmar berusia lewat 40-an, cedera di badan manakala seorang lagi lelaki yang juga rakan suspek turut cedera akibat ditikam.
Difahamkan, suspek bersama beberapa rakannya datang ke restoran itu kira-kira jam 8.30 malam dalam keadaan dipercayai mabuk sebelum tidak berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan.