Buli: Kerajaan Mahu Dengar Pandangan Rakyat

Foto Bernama

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan mahu mendengar sebanyak mungkin pandangan rakyat sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung cadangan undang-undang berkaitan buli menerusi sesi libat urus secara townhall yang berlangsung di seluruh negara ketika ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menerusi sesi berkenaan, golongan masyarakat khususnya guru, ibu bapa serta pelbagai pihak berkepentingan boleh menyuarakan cadangan, kebimbangan serta kritikan terhadap pelaksanaan akta itu.

“Hari ini cikgu-cikgu banyak memberi cadangan dan juga menyuarakan kegusaran mereka tentang ‘expectation’ kerana kadangkala mereka merasakan bebanan itu jatuh kepada mereka.

“Saya memahami perkara itu dan sebab itu undang-undang ini kita nak dengar daripada semua pihak supaya ada keseimbangan dalam semua aspek,” katanya.

Azalina berkata demikian pada sidang akhbar setelah menghadiri Sesi Townhall Anti Buli #Generasi Tanpa Buli Peringkat Negeri Johor di Dewan Banquet, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

Katanya, kerajaan telah mengumpulkan banyak pandangan melalui platform khas yang diwujudkan itu bagi memudahkan orang ramai memberikan cadangan, komen, teguran serta kritikan.

Malah katanya, mereka yang tidak dapat hadir ke sesi libat urus berkenaan, boleh menyuarakan pandangan di platform berkenaan.

“Penelitian juga sedang dibuat sama ada cadangan akta itu hanya difokuskan kepada isu pelajar bawah 18 tahun di sekolah, atau diperluaskan kepada aspek lebih menyeluruh melibatkan institusi pengajian tinggi, swasta, pusat latihan, serta agensi lain termasuk pasukan beruniform.

“Kalau kita perluaskan lagi, ia tidak semestinya hanya melibatkan pendidikan sahaja. Mungkin melibatkan universiti, maktab, pusat ketenteraan, polis dan sebagainya kerana banyak juga berlaku elemen buli di situ.

“Itu sebabnya kita nak lihat secara lebih terbuka, bukan semata-mata fokus kepada sekolah bawah Akta Kanak-Kanak,” katanya.

Sementara itu, Azalina berkata, penubuhan tribunal khas berkaitan gangguan seksual, Azalina bakal memberi akses lebih mudah kepada mangsa berbanding membawa kes ke mahkamah terbuka.

“Sebelum ini, kes sebegini dibawa ke mahkamah biasa, tetapi dengan adanya tribunal khas, kita jangka lebih ramai mangsa tampil kerana prosesnya lebih mesra dan mudah.