
Pemimpin negeri menyifatkan pengumuman beberapa inisiatif oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bukti keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan Madani membantu meringankan beban rakyat.
Di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata inisiatif yang diumumkan termasuk pemberian RM100 secara sekali beri di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan penurunan harga petrol RON95 adalah permulaan baik dan mampu meringankan beban rakyat.
“Pengumuman seperti ini memberi makna kepada rakyat, bagi yang memerlukan ia adalah pemberian sangat bermakna dan membantu kehidupan mereka,” katanya.
Beliau berkata, keputusan kerajaan untuk memperbanyak program Jualan Rahmah Madani dan menggandakan peruntukan sehingga RM600 juta terhadap program itu juga inisiatif terbaik yang memberi manfaat besar kepada rakyat.
Di MELAKA, kerajaan negeri akan merancang aktiviti pelancongan kepada pengunjung sempena cuti hari kelepasan am tambahan pada 15 September ini bagi merancakkan lagi sektor pelancongan sebagai sebahagian daripada industri baharu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Saya akan menjadikan sektor pelancongan ini sebagai industri baru di Melaka. Macam-macam aktiviti pelancongan di Melaka meliputi udara, darat dan laut,” katanya.
Di SELANGOR, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengumuman bantuan RM100 melalui MyKad di bawah SARA itu adalah bukti kepekaan dan keprihatinan Kerajaan Madani terhadap rintihan rakyat terbanyak.
Beliau berkata, dengan 22 juta rakyat dijangka mendapat manfaat daripada peruntukan keseluruhan RM2 bilion melalui SARA, ia sekali gus membantu menggerakkan kitaran ekonomi dengan perbelanjaan atau transaksi pembelian yang bakal dilakukan.
“Walaupun ada yang beranggapan RM100 itu kecil, tetapi nilai sebenar yang perlu dilihat adalah RM2 bilion yang diperuntukkan kerana berapa banyak daripada jumlah itu akan bergerak dan masuk dalam rantaian serta nilaian ekonomi melalui perbelanjaan oleh rakyat,” katanya.
.
Di PULAU PINANG, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, pemberian bantuan RM100 secara sekali beri di bawah SARA amat dihargai kerana Kerajaan Persekutuan masih dapat melaksanakannya walaupun berada bawah kekangan fiskal ketat.
Chow berkata, Perdana Menteri juga harus diberi ruang dan masa untuk berdepan tekanan ekonomi domestik serta global, termasuk situasi tarif Amerika Syarikat (AS) yang boleh memberikan kesan kepada eksport Malaysia.
Di PERLIS, Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata, apa sahaja tindakan yang boleh memberikan keuntungan dan meringankan beban rakyat adalah satu perkara baik dan beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri yang berusaha membantu rakyat mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup.
“Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri ini adalah satu langkah baik, pemberian RM100 secara sekali beri melalui SARA untuk golongan dewasa, saya pun akan dapat, terima kasihlah,” katanya.
Di KEDAH, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyambut baik pengumuman penurunan harga petrol RON95 dan pemberian RM100 secara sekali beri kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas.
“Alhamdulillah dan untuk SARA RM100, terima kasihlah,” katanya.
Di KELANTAN, Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pengumuman penghargaan kepada rakyat oleh Anwar itu sebagai langkah yang sangat bertepatan dengan keadaan kos sara hidup semasa.
“Kita sambut baik apa sahaja inisiatif untuk membantu rakyat. Secara dasarnya kita berterima kasih,” katanya.