
KUALA LUMPUR: Pengurusan tertinggi platform media sosial TikTok menjadi kumpulan pertama dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Khamis ini, bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan platform itu terutama kes penyebaran maklumat palsu, aktiviti jualan di TikTok Shop, kelewatan memberi kerjasama kepada siasatan polis dan isu lain.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pertemuan dengan Ketua Polis Negara dan Jabatan Peguam Negara itu adalah yang pertama dibuat dengan pihak TikTok sebelum kerajaan memanggil platform media sosial lain untuk berbincang mengenai pematuhan terhadap undang-undang Malaysia, susulan kebimbangan yang semakin meningkat berkaitan kes pedofilia di media sosial.
“Khamis ini akan ada satu pertemuan di Bukit Aman dan saya memanggil pengurusan tertinggi TikTok.
“Kita dapati banyak isu, terutama penyebaran berita palsu, yang mana pihak TikTok mengambil masa terlalu lama untuk memberi kerjasama kepada polis.
“Dalam kes terkini membabitkan doktor atau pakar bedah palsu, TikTok lambat memberikan maklumat kepada pihak polis sehinggakan saya sendiri terpaksa menghubungi ketua pegawai eksekutif (CEO) secara peribadi,” katanya selepas menghadiri Persidangan Grand Prix Kecerdasan Buatan (AI) 2025 di sini hari ini.