
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanggah dakwaan kononnya Malaysia dan Asean takut dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan Malaysia mempertahan sikap sederhana dan ‘centrality’, yang bermakna negara ini boleh berhubung dan berkawan dengan semua.
Memberi contoh Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA) yang ditandatangani hari ini, Perdana Menteri berkata ia menjadi bukti bahawa blok kerjasama 11 negara termasuk Malaysia tidak
“Kalau kita takut degan Amerika, mana mungkin kita ‘sign’ (menandatangani ACFTA 3.0) dengan China,” katanya ketika sidang media sempena penutupan Sidang Kemuncak Asean Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini.
“Ada kata mengapa kita memihak kepada China, tetapi (saya kata) kita (juga) baik dgn Amerika… mengapa terlalu (beriya) sambut Amerika, (saya kata) kita baik dengan Brazil dan Afrika Selatan… mengapa pula baik dengan EU (Kesatuan Eropah), kerana perdagangan dan pelaburan negara itu penting.
“Keputusan dibuat (Malaysia dalam soal hubungan mengambil kira kepentingan) menjaga imej negara, ekonomi, pelaburan dan lebih penting menjamin manfaat kepada rakyat,” katanya.
Anwar yang juga Pengerusi Asean 2025 menegaskan dasar luar Malaysia berasaskan prinsip saling menghormati dan maruah negara, bukan kerana kekayaan atau kedudukan sesebuah negara.
“Kita berkawan bukan sebab negara itu kaya atau miskin, tapi kerana menghormati maruah dan kedaulatan mereka,” katanya.
Beliau berkata, setiap pertemuan dengan pemimpin dunia digunakan untuk memperjuangkan kepentingan umat dan kemanusiaan termasuk isu Palestin.
“Kita bukan menyerah. Bila saya jumpa Presiden Trump, saya nyatakan dengan jelas, hentikan serangan, hormati hak rakyat Palestin. Kita sampaikan terus, bukan sekadar jerit dari jauh,” katanya.
Dalam pada itu Anwar menyifatkan sikap ‘centrality’ itu sebagai kebijaksanaan diplomasi Malaysia yang kini dipandang tinggi di peringkat antarabangsa.
“Ada yang memang dengki, bukan soal saya, tapi tentang nama baik Malaysia.
“Apa pun saya bangga kerana Malaysia kini harum namanya di mata dunia,” katanya.